Gawai Mangkung Tiang Satukan Komuniti, Perkukuh Warisan Rumah Panjang
BETONG: Sambutan Gawai Mangkung Tiang di Rumah Panjang Penurin bukan sekadar simbol kesyukuran selepas siapnya pembinaan rumah panjang baharu, malah menjadi simbol semangat perpaduan dan kerjasama masyarakat dalam membangunkan komuniti yang harmoni dan sejahtera.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, perayaan tersebut menjadi lambang kejayaan penduduk setempat yang berganding bahu mewujudkan sebuah komuniti yang bersatu padu serta memiliki kepimpinan yang kukuh di peringkat rumah panjang.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Gawai Mangkung Tiang di Rumah Sibat Banyan, Penurin pada Jumaat.
Menurut beliau, semangat kebersamaan yang ditunjukkan penduduk setempat sepanjang majlis berlangsung membuktikan nilai perpaduan masih kukuh diamalkan dalam kalangan masyarakat Iban.
Datuk Gerald turut melahirkan rasa gembira melihat sambutan penuh mesra yang diberikan oleh penduduk serta kehadiran tetamu dari pelbagai kawasan yang pulang untuk bersama-sama meraikan majlis tersebut.
Katanya, kepulangan anak-anak perantau sempena musim perayaan membuktikan mereka masih menghargai asal usul dan terus mengekalkan hubungan kekeluargaan serta semangat kebersamaan yang menjadi teras masyarakat Iban.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat ‘segulai sejalai’ terus diperkasakan dalam kalangan masyarakat bagi memperkukuh hubungan silaturahim dan keharmonian komuniti, khususnya sempena sambutan Hari Gawai yang bakal diraikan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri dan keluarga sepanjang musim perayaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu menyifatkan sambutan Gawai Mangkung Tiang sebagai platform penting untuk memelihara warisan budaya serta memperkukuh identiti masyarakat Iban.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Sibat Banyan dan seluruh penduduk Rumah Panjang Penurin atas kejayaan menyiapkan pembinaan rumah panjang baharu yang disifatkannya sebagai hasil kesepakatan dan komitmen komuniti setempat.
Menurut beliau, generasi muda perlu terus didedahkan kepada adat dan budaya tradisional agar warisan masyarakat Iban dapat dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Majlis tersebut turut disertai kira-kira 800 pengunjung termasuk penduduk dari empat rumah panjang berhampiran iaitu Rumah Panjang Saka, Rumah Panjang Maja, Rumah Panjang Remabong dan Rumah Panjang Entanak yang hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
Turut hadir isteri Datuk Gerald, Datin Rosemarie Wong, Pegawai UKAS Bahagian Betong Tony Malang Chabu, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong Norman Ngumbang, Penghulu Sebastian Randy, Penghulu Ajang Tibu, Kaunselor Tebari Megong serta Kaunselor Jantie Miai.- EDISI UKAS