47 Keluarga di DUN Ngemah Terima Bantuan PPRMS RM500,000
KANOWIT: Seramai 47 keluarga dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah menerima kelulusan bagi Projek Kecil Luar Bandar Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS).
Majlis penyerahan plak PPRMS kepada penerima terbabit telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana dalam satu majlis yang berlangsung di Restoran Tong Cheng, Kanowit pada Rabu.
Menurut Anyi, kesemua 47 pintu (keluarga) berkenaan merupakan penerima yang mendapat bantuan PPRMS Fasa 1 bagi tahun 2026, yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM500,000 untuk kawasan DUN Ngemah.
"Program PPRMS merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat mendapat kediaman yang lebih selesa," katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai Persidangan DUN Sarawak baru-baru ini, Anyi menyatakan bahawa beliau telah membangkitkan beberapa perkara, khasnya mengenai pembangunan infrastruktur di kawasan DUN Ngemah.
Beliau berkata, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan mengadakan lawatan kerja ke DUN Ngemah pada 26 Jun depan bagi Program Penyerahan Jalan Balak kepada Kerajaan Negeri di Simpang Jalan Jagau.
“Saya menyeru kepada seluruh hadirin yang hadir agar terus memberikan sokongan kepada polisi serta pelan pembangunan yang dibawakan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Sokongan yang kukuh daripada rakyat amat penting demi memastikan pembangunan yang berterusan serta mengekalkan kestabilan politik di Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS