Kempen Keselamatan Jalan Raya Dipergiat Sempena Tahun Baharu Cina 2026
MIRI: Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan bukan terletak di bahu kerajaan atau pihak penguat kuasa semata-mata.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, musim perayaan lazimnya menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan dan pergerakan trafik.
Ini sekali gus ujarnya meningkatkan risiko kemalangan jalan raya apabila ramai pengguna mengambil kesempatan cuti untuk pulang ke kampung halaman serta mengunjungi sanak saudara.
“Di Sarawak, setiap perayaan diraikan bersama oleh masyarakat berbilang kaum dan agama. Namun dalam kemeriahan ini, aspek keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana setiap nyawa amat berharga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Bahagian Miri sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Stesen Shell Permyjaya, di sini pada Isnin.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 21,747 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025, dengan 418 kematian, 189 kes kecederaan parah dan 300 kes kecederaan ringan.
Di Daerah Miri pula, sebanyak 3,442 kes kemalangan dicatatkan, majoritinya melibatkan kerosakan kenderaan sahaja iaitu 3,355 kes.
Bagaimanapun, kemalangan di daerah ini turut mengakibatkan 47 kematian, 10 kecederaan parah dan 30 kecederaan ringan.
Beliau turut memaklumkan statistik menunjukkan penurunan kes kemalangan maut dan jumlah kematian di Miri berbanding tahun sebelumnya, namun tahap keselamatan masih perlu dipertingkatkan melalui kempen berterusan serta perubahan sikap pengguna jalan raya.
“Statistik ini bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan realiti bahawa faktor manusia masih menjadi punca utama kemalangan, termasuk memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu serta mengabaikan penyelenggaraan kenderaan,” jelasnya.
Kerajaan Sarawak katanya, akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menaik taraf infrastruktur jalan raya, memperbaiki papan tanda dan memperhebat kempen kesedaran, namun keberkesanannya bergantung kepada tahap tanggungjawab setiap individu.
Hadir sama Residen Bahagian Miri, Galong Luang dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili.-EDISI UKAS