Kejohanan Futsal Terbuka Piala Presiden PRS Perkasa Belia Aktif
SELANGAU: Kejohanan Futsal Terbuka Piala Pusingan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai menjadi platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti sihat sekali gus membina semangat kesukanan dalam kalangan komuniti setempat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata melalui pembinaan gelanggang futsal, ia akan menyediakan kemudahan kepada golongan belia agar mereka dapat melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah serta mengelakkan penglibatan dalam gejala tidak sihat.
“Gelanggang ini boleh dimanfaatkan oleh belia di kawasan Bukit Dinding dan sekitarnya untuk dikongsi bersama sebagai ruang riadah dan pembangunan bakat sukan,” katanya ketika merasmikan kejohanan tersebut baru-baru ini.
Menurut beliau, pada peringkat awal hanya padang dan pagar dibina dengan kos RM350,000 sebelum peruntukan tambahan sebanyak RM400,000 disalurkan bagi pembinaan bumbung selepas menerima permohonan penduduk setempat.
Program anjuran Kelab Proaktif Lubuk Bukut dengan kerjasama (Ahli Jawatankuasa) AJK Gelanggang Futsal Bukit Dinding itu berlangsung di Gelanggang Futsal Bukit Dinding, Jalan Selangau-Mukah.
Majlis turut disempurnakan dengan simbolik penyerahan jersi kejohanan serta sepak mula perasmian oleh beliau.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Manna bagi kegunaan pengurusan komuniti.
Sebanyak 20 pasukan menyertai kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Januari hingga 1 Februari 2026.
Turut hadir Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, Ketua Pemuda PRS Kakus, Dr Jawing Chunggat, Philip Matau dari Sarawak Plantation Berhad serta beberapa penghulu kawasan setempat.-EDISI UKAS