RM128 Juta Pacu Pembangunan Kampung Sabena, Perkasa Infrastruktur & Ekonomi Setempat
MERADONG: Peruntukan pembangunan berjumlah kira-kira RM128 juta sejak tahun 2017 menjadi pemangkin utama kepada transformasi Kampung Sabena, khususnya dalam memperkukuh kemudahan asas serta menjana peluang ekonomi penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pelbagai projek berimpak tinggi telah dilaksanakan melibatkan pembangunan infrastruktur, kemudahan awam serta sektor pertanian di kawasan berkenaan.
“Sejak tahun 2017 hingga kini, Kampung Sabena telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah kira-kira RM128 juta melibatkan pelbagai projek yang memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat.
“Antara projek yang telah dilaksanakan termasuk pembinaan masjid baharu, naik taraf masjid sedia ada, pembinaan serta naik taraf jalan kampung, pembinaan jeti dan pontoon, pembinaan jambatan, kemudahan saliran dan pengairan, serta projek pembangunan pertanian dan infrastruktur asas lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Sabena Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Aspirasi Zaini, Sekolah Kebangsaan (SK) Sabena, di sini, pada Khamis.
Dr. Safiee menambah, pelaksanaan projek-projek tersebut bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas, malah membuka peluang ekonomi serta memperbaiki taraf hidup penduduk setempat secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam memastikan pembangunan pendidikan anak-anak terus diperkasa.
Beliau turut memberi jaminan bahawa usaha memperkasa pembangunan luar bandar akan terus dipergiatkan bagi memastikan keseimbangan pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam majlis tersebut, Dr. Safiee telah menyampaikan sumbangan dana kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sabena, PIBG SK Nanga Semah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sabena dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16,000 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti pendidikan dan pembangunan komuniti.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 27 orang murid SK Sabena sebagai tanda keprihatinan dan galakan kepada pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.-EDISI UKAS