Langkah Segera Tangani Gangguan Bekalan Air Daro Dipergiat
DARO: Isu gangguan bekalan air di daerah ini terus diberi perhatian serius menerusi pelaksanaan langkah segera dan bersepadu bagi memulihkan perkhidmatan kepada penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, gangguan tersebut berpunca daripada kerosakan pam serta paras air sungai yang surut susulan kemarau berpanjangan.
Menurut beliau, situasi berkenaan bukan sahaja menjejaskan kawasan di Daro, malah turut melibatkan beberapa kawasan lain.
“Antara tindakan utama yang telah dan sedang dilaksanakan ialah pembaikan serta pemasangan semula pam sedia ada di Loji Rawatan Air Daro.
“Pam air mentah No.1 dijangka tiba dan dipasang pada 10 April 2026, manakala pam No.2 dijadualkan pada 17 April ini bagi memulihkan operasi loji secara berperingkat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Isu Gangguan Air di Pejabat Daerah Daro, pada Khamis.
Dr. Safiee menambah, sistem pintasan sementara (bypass) turut akan dilaksanakan melalui pemasangan paip khas bagi memastikan aliran air mentah dapat diteruskan, sekali gus mengurangkan kesan gangguan bekalan kepada penduduk setempat.
“Dalam masa sama, sebuah pam baharu jenis 'surface pump' (negative suction) turut akan ditambah sebagai unit sokongan yang dijangka tiba pada 13 April 2026, diikuti kerja-kerja pengubahsuaian dan pemasangan dalam tempoh kira-kira seminggu.
“Langkah ini penting bagi memastikan operasi loji rawatan air kekal stabil walaupun paras air sungai berada pada tahap rendah,” ujarnya lagi.
Ujarnya, pemantauan rapi akan terus dilakukan bagi memastikan setiap pelaksanaan berjalan lancar dan berkesan demi kepentingan rakyat.
“Segala usaha ini diharap dapat memulihkan bekalan air secara berperingkat dan kembali stabil menjelang penghujung April 2026, tertakluk kepada kelancaran kerja-kerja di lapangan,” katanya.
Turut hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Penolong Jurutera Air Bahagian JBALB Mukah Frezzal Faisal, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum Tanah Besar Daro serta wakil daripada TechKem Resources Sdn. Bhd.-EDISI UKAS