205 Atlet Zon Tengah Galas Misi Besar di SUKSAR IV
SIBU: Seramai 252 peserta mewakili Bahagian Sibu, Mukah dan Kapit akan menggalas cabaran Kontinjen Zon Tengah pada Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang akan berlangsung di Sri Aman, Betong dan Lubok Antu bermula 5 hingga 8 Februari ini.
Residen Bahagian Sibu, Mohammad Porkan Abang Budiman berkata jumlah itu terdiri daripada 45 pegawai dan urusetia serta 205 atlet, pengurus pasukan dan jurulatih yang akan menyertai temasya sukan berprestij tersebut.
“Kontinjen Zon Tengah akan mengambil bahagian dalam kesemua 11 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu angkat berat, berbasikal, bola jaring, bola keranjang, karate, ping pong, petanque, sepak takraw, sofbol, taekwondo dan tinju.
“Proses pemilihan atlet telah dilaksanakan oleh 11 persatuan sukan yang terlibat dan berjalan dengan lancar.
“Manakala latihan pusat telah bermula sejak 5 Januari 2026 bagi memastikan tahap kesiapsiagaan atlet berada pada tahap optimum dari segi fizikal, mental dan taktikal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bendera dan Jersi Kontinjen Zon Tengah SUKSAR IV 2026 di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Katanya, Kontinjen Zon Tengah akan bertolak ke lokasi SUKSAR IV pada 3 Februari 2026 dan dijadualkan kembali pada 9 Februari 2026.
Mengulas sasaran kontinjen, Mohammad Porkan yang juga Ketua Kontinjen (Chef De Mission) Kontinjen Zon Tengah SUKSAR 2026 berkata Kontinjen Zon Tengah menyasarkan kutipan 19 pingat emas, 20 pingat perak dan 30 pingat gangsa dalam kesemua 11 sukan yang disertai.
“Sebagai rekod pencapaian terdahulu, Kontinjen Zon Tengah telah berjaya meraih 50 pingat emas, 47 pingat perak dan 54 pingat gangsa dalam 13 jenis sukan yang disertai.
“Pencapaian ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh kontinjen untuk menampilkan prestasi yang lebih cemerlang pada edisi kali ini,” ujarnya.-EDISI UKAS