Projek RTP Pacu Pembangunan Rumah Panjang Luar Bandar di Julau
JULAU: Penyaluran peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata peruntukan tersebut diharap dapat meringankan beban penduduk Rumah Panjang Minggan serta menjadi pemangkin kepada pembinaan kediaman baharu yang lebih teratur, selesa dan selamat.
“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat luar bandar. Bantuan ini diharap dapat mempercepatkan proses penyediaan tapak dan pembinaan rumah panjang yang lebih selesa untuk kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis merata tapak rumah baharu Rumah Panjang Minggan di Nanga Sayong, Sungai Entabai, di sini, hari ini.
Bagi tujuan itu katanya, sejumlah RM100,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja penyediaan tapak pembinaan rumah panjang baharu yang lebih moden dan selesa.
Tambah beliau, penduduk rumah panjang turut digalakkan untuk memohon pinjaman perumahan melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Sarawak (HDC) bagi membantu mempercepatkan lagi proses pembinaan rumah panjang berkenaan.
Dalam pada itu, Dato Rolland menegaskan bahawa pelbagai inisiatif dan bantuan yang disalurkan merupakan bukti jelas Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah meminggirkan penduduk luar bandar dan pedalaman, sebaliknya memastikan pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa mengira lokasi.
Beliau turut menggesa rakyat agar terus mengenali dan menghargai usaha Kerajaan GPS yang diterajui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memastikan pembangunan seimbang dan inklusif di seluruh pelosok negeri.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan mengekalkan keharmonian, keamanan serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
“Sarawak merupakan contoh terbaik perpaduan negara. Toleransi antara kaum di negeri ini amat baik dan perlu terus dipelihara.
"Jangan kita mudah terpengaruh dengan anasir ekstrem yang cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat menggunakan isu bangsa dan agama demi kepentingan agenda sempit,” tegasnya.
Sementara itu, projek merata tapak rumah panjang itu akan dipantau oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut perancangan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Brian Fung dan Paulus Dandee Banyang serta penduduk setempat.-EDISI UKAS