Kes Kehamilan Remaja di Sarawak Catat Penurunan 11.5 Peratus
KUCHING: Sarawak merekodkan penurunan sebanyak 11.5 peratus kes kehamilan remaja bagi tahun 2025, melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 10 peratus yang ditetapkan oleh One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) negeri, hasil pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi dalam pencegahan dan pengurusan kes.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, sebanyak 1,770 kes remaja hamil direkodkan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, dengan 69.6 peratus kes berjaya diselesaikan melalui mekanisme rujukan OSTPC.
Beliau menegaskan, pengurangan kadar kehamilan remaja amat penting bagi memastikan remaja khususnya perempuan dapat meneruskan pendidikan sehingga sekurang-kurangnya peringkat menengah dan membina masa depan yang lebih baik.
“Kita mahu kurangkan kehamilan remaja supaya anak-anak ini tidak berhenti sekolah separuh jalan.
“Kajian menunjukkan semakin tinggi pendidikan seseorang, semakin besar peluang mereka untuk mendapat masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat OSTPC Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Wanita di sini, pada Isnin.
Menurut Dato Sri Fatimah, bagi memperkukuh pencegahan, OSTPC terus melaksanakan program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) di sekolah serta Program Randau Pembangunan Sosial di komuniti luar bandar dan pedalaman, dengan intervensi bersasar di kawasan berisiko tinggi.
Beliau berkata, pada 2026, kerajaan negeri menyasarkan pelaksanaan 14 siri KAPS, pengenalan KAPS komuniti serta 12 siri RPS dengan modul ditambah baik, selain memperkemas kerjasama inter-agensi melalui sistem pemantauan kes bersepadu.
Terdahulu, Dato Sri Fatimah telah menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli baharu OSTPC bagi sesi 2 Februari 2026 hingga 1 Februari 2028.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Douglas Demong & Nur Nabilla