Anak Yatim Disantuni, Gong Xi Raya Semarak Nilai Keprihatinan
MIRI: Kehadiran kira-kira 71 orang kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam (PERYATIM) menyemarakkan lagi penganjuran Pratonton Bufet Gong Xi Raya yang menggabungkan elemen budaya Tahun Baharu Cina dan semangat Ramadan di sebuah hotel di sini.
Majlis itu mencerminkan komitmen berterusan sektor hospitaliti dalam menyantuni kebajikan masyarakat, khususnya golongan kurang bernasib baik, selaras dengan semangat keprihatinan dan perpaduan yang diketengahkan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif yang dilaksanakan Pullman Miri Waterfront wajar dijadikan contoh oleh entiti korporat lain kerana sentiasa mengutamakan tanggungjawab sosial, khususnya terhadap golongan berkeperluan khas.
“Setiap kali sambutan perayaan dianjurkan, pihak Pullman Miri Waterfront tidak pernah melupakan kanak-kanak rumah kebajikan dan golongan berkeperluan khas. Usaha sebegini memberi makna besar kerana ia membuatkan mereka berasa dihargai dan menjadi sebahagian daripada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan pada Isnin.
Beliau menegaskan, pendekatan berteraskan keprihatinan itu selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membina sebuah masyarakat penyayang dan inklusif, sekali gus menyeru lebih banyak organisasi agar mencontohi usaha murni tersebut, khususnya semasa musim perayaan.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut menekankan keunikan Sarawak sebagai negeri yang terkenal dengan keharmonian dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
“Di Sarawak, sesuatu perayaan bukan hanya milik satu kaum, sebaliknya diraikan bersama oleh seluruh masyarakat. Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Gawai dan Krismas diraikan sebagai satu keluarga besar,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad, bersama wakil-wakil Pullman Miri Waterfront dan jemputan lain.-EDISI UKAS