225 Atlet & Pegawai Zon Barat Sertai SUKSAR IV 2026
SARIKEI: Kontinjen Zon Barat yang terdiri daripada wakil Bahagian Sarikei, Betong dan Sri Aman secara rasmi memulakan cabaran mereka dalam Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 menerusi Majlis Pelepasan Kontinjen yang berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan di Dewan Suarah Sarikei pada Selasa.
Majlis pelepasan berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa majlis pelepasan tersebut bukan sekadar simbolik permulaan kejohanan, malah mencerminkan satu perjuangan yang menuntut disiplin, pengorbanan serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan atlet.
Menurut beliau, pemilihan atlet ke temasya SUKSAR merupakan satu pengiktirafan terhadap bakat, komitmen dan kesungguhan yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh latihan, di samping mengingatkan atlet agar memikul tanggungjawab sebagai duta Zon Barat yang membawa nama pasukan, jurulatih serta masyarakat setempat.
“Perjalanan menuju kejayaan bukanlah mudah, namun setiap cabaran dan pengorbanan yang ditempuhi akan menjadi asas kepada kecemerlangan,” katanya sambil menyeru para atlet supaya bertanding dengan penuh keyakinan, berdisiplin serta menjunjung tinggi semangat kesukanan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, pegawai pasukan dan semua pihak yang terlibat dalam persiapan kontinjen, serta berharap Kontinjen Zon Barat mampu mencipta pencapaian yang membanggakan dalam SUKSAR IV 2026.
Kontinjen Zon Barat yang diketuai oleh Chef de Mission, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong menghantar seramai 225 atlet dan pegawai untuk menyertai 10 acara sukan sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 8 Februari 2026 di Bahagian Betong dan Sri Aman.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Sri Aman merangkap Assistant Chef de Mission Zon Barat, Mahra Salleh, Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Badjuri Bidin.-EDISI UKAS