Projek Naik Taraf Balai Raya Tingkat Kemudahan Komuniti Emperoh Jambu
PADAWAN: Balai raya Kampung Emperoh Jambu kini tampil dengan wajah baharu selepas projek naik taraf yang memakan kos sebanyak RM1 juta siap sepenuhnya pada Februari 2026.
Satu lawatan tapak telah diadakan bagi meninjau kemajuan akhir projek tersebut serta menilai tahap kesiapsiagaan kemudahan berkenaan sebelum diserahkan secara rasmi kepada komuniti setempat.
Projek yang bermula pada Mei 2025 itu melibatkan kerja penambahbaikan menyeluruh merangkumi aspek struktur bangunan, keselamatan serta keselesaan pengguna.
Naik taraf tersebut bertujuan memastikan balai raya itu dapat berfungsi dengan lebih efektif sebagai pusat aktiviti sosial, kemasyarakatan dan pembangunan setempat.
Lawatan berkenaan turut bertujuan melaksanakan Pemeriksaan Pra-Sijil Siap dan Pematuhan bagi memastikan semua kerja pembinaan dan kemasan memenuhi spesifikasi serta piawaian yang telah ditetapkan.
Proses pemeriksaan ini turut melibatkan persetujuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Emperoh Jambu selaku pemilik projek dan wakil komuniti, bagi memastikan kemudahan yang disiapkan benar-benar memenuhi keperluan penduduk.
Siapnya projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Kampung Emperoh Jambu khususnya dalam menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk penganjuran program komuniti, mesyuarat serta aktiviti sosial.-EDISI UKAS