305 Kontinjen Zon Utara Rasmi Berangkat sertai SUKSAR IV 2026
BINTULU: Seramai 305 orang kontinjen Zon Utara secara rasmi berlepas bagi menyertai Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang akan berlangsung di Betong, Sri Aman dan Lubok Antu dari 5 hingga 8 Februari ini.
Majlis pelepasan berlangsung di Dewan Suarah Bintulu dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Turut hadir ADUN Jepak, Iskandar Turkee, Residen Bahagian Bintulu merangkap Chef de Mission (CDM) Zon Utara Datu Nyurak Keti, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey, wakil kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing, serta pegawai agensi sukan negeri dan persekutuan.
Dalam ucapannya, Johnny Pang menyeru para atlet agar berjuang dengan penuh disiplin, keberanian dan semangat kesukanan tinggi.
Menurut beliau, SUKSAR bukan sekadar kejohanan sukan, malah menjadi medan membentuk jati diri serta masa depan atlet Sarawak.
“Anda membawa nama Zon Utara. Menang atau kalah adalah lumrah, namun yang paling penting ialah memberikan yang terbaik dan menjunjung tinggi nilai kesukanan,” katanya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada jurulatih, ibu bapa dan seluruh komuniti yang sentiasa menyokong pembangunan atlet di Zon Utara.
Kontinjen Zon Utara bagi SUKSAR IV 2026 melibatkan 222 atlet terdiri daripada 71 atlet Bintulu, 107 atlet Miri, 41 atlet Limbang serta tiga atlet import dari Kuching bagi acara berbasikal.
Selain itu, kontinjen turut disertai empat CDM dan ACDM, 36 urusetia serta 43 pengurus pasukan dan jurulatih.
Majlis berakhir dengan laungan penuh semangat “Zon Utara Juara!” sebagai simbol solidariti dan sokongan padu kepada para atlet yang bakal beraksi di pentas SUKSAR IV 2026.-EDISI UKAS