RM8,000 Sumbangan perkasa persiapan atlet Zon Utara ke SUKSAR IV
MIRI: Sebanyak RM8,000 disumbangkan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr. Ripin Lamat sempena majlis flag-off ke Sukan Sarawak (SUKSAR) Siri Keempat 2026 di Stadium Bandaraya Miri sebagai suntikan semangat buat kontinjen Zon Utara.
Menurut Datuk Dr Ripin, sumbangan tersebut bertujuan membantu pihak pengurusan menyediakan keperluan tambahan atlet termasuk aspek pemakanan, suplemen tenaga dan logistik agar kontinjen berada pada tahap persediaan terbaik menjelang temasya yang berlangsung di Betong, Sri Aman dan Lubok Antu dari 5 hingga 8 Februari ini.
Datuk Dr. Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir berkata, pelaburan terhadap kebajikan atlet adalah penting kerana kejayaan di gelanggang bukan sahaja bergantung kepada latihan, malah persediaan menyeluruh dari segi fizikal dan mental.
Beliau turut menyuntik kata semangat kepada atlet agar berjuang dengan disiplin tinggi serta tidak mudah goyah berdepan tekanan pertandingan, di samping menyasarkan Zon Utara mampu muncul sebagai juara keseluruhan.
Kontinjen Zon Utara melibatkan seramai 305 orang merangkumi 222 atlet serta pegawai, jurulatih, pengurus pasukan dan urusetia. Atlet-atlet ini akan bertanding dalam 11 acara sukan di tiga lokasi utama penganjuran.
Majlis pelepasan tersebut menjadi simbol komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan negeri, selain menyemarakkan motivasi atlet Zon Utara untuk mengharumkan nama bahagian pada SUKSAR IV 2026.
Turut hadir Residen Bahagian Miri merangkap Assistant Chef De Mission (ACDM) Sukan Sarawak 2026, Galong Luang, wakil Residen Bahagian Limbang dan ACDM Sukan Sarawak 2026, Awangku Mohd Sharizan Mainizam Awangku Mahidin, Ketua Urusetia Zon Utara Sukan Sarawak 2026, Abdul Ajis Kon Mohamad Ghazali Ismail serta Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.-EDISI UKAS