Pelancong Puji Keharmonian Kaum, Kebersihan & Keindahan Alam Semula Jadi Sarawak
KUCHING: Keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara, suasana masyarakat berbilang kaum yang harmoni serta kebersihan kawasan pelancongan yang terjaga terus menjadikan Sarawak pilihan dan menerima pujian daripada pelancong tempatan.
Sekumpulan pelancong dari Semenanjung Malaysia yang berkunjung ke Sarawak bagi aktiviti pelancongan dan pendakian menyifatkan pengalaman mereka sebagai amat bermakna meskipun perancangan untuk mendaki Gunung Santubong terpaksa dibatalkan berikutan faktor cuaca yang tidak mengizinkan.
Salah seorang pelancong, Nurhayani Abd Ghani berkata, Sarawak menawarkan keindahan alam semula jadi yang berbeza serta pengalaman pelancongan yang unik.
“Sarawak sangat cantik dengan alam semula jadi yang masih terjaga. Sungai, gunung dan kawasan taman negara yang kami lawati sangat memukau, selain budaya dan kehidupan masyarakat tempatan yang unik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UKAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum berangkat pulang ke Semenanjung Malaysia pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohad Hafiz Abd Ghani, yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kuching, menyifatkan masyarakat Sarawak sebagai mesra dan mudah didekati, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan yang menyenangkan.
“Orang Sarawak memang ramah, pemandangan pula cantik dan makanan sangat sedap. Walaupun tidak dapat mendaki Gunung Santubong kali ini, pengalaman keseluruhan di Sarawak amat berbaloi dan saya berhasrat untuk datang semula,” ujarnya.
Beliau turut memuji tahap kebersihan di kawasan pelancongan serta kemudahan yang disediakan, khususnya bagi aktiviti rekreasi dan pendakian.
Sementara itu, seorang lagi pelancong, Amiruddin Hanafiyah, menyifatkan keharmonian masyarakat Sarawak sebagai sesuatu yang jelas dapat dirasai sepanjang tempoh berada di negeri ini.
“Keharmonian di Sarawak bukan sekadar slogan, tetapi dizahirkan melalui cara hidup masyarakatnya. Setiap kaum dapat dilihat bergaul dan berkongsi ruang dengan tenang tanpa sebarang jurang,” katanya.
Menurut beliau, aspek kebersihan, kemudahan infrastruktur serta usaha pemeliharaan alam sekitar di kawasan pelancongan turut meninggalkan kesan positif kepada pengunjung.
“Persekitaran yang bersih dan kemudahan yang baik menjadikan Sarawak sebuah destinasi yang selesa serta sesuai untuk pelancong dan aktiviti ekopelancongan,” tambahnya.
Mereka turut berharap agar keindahan alam semula jadi, kebersihan serta keharmonian kaum di Sarawak terus dipelihara dan dikekalkan demi kelestarian industri pelancongan negeri ini. - EDISI UKAS