BETONG: Sebarang keputusan untuk menangguhkan acara sukan yang dipertandingan pada kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 tertakluk kepada budi bicara Ketua Deligasi Teknikal (KDT) pertandingan.
Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Khairul Nizam Morshidi sambil berkata setakat ini semua pertandingan akan diteruskan mengikut jadual meskipun keadaan cuaca ketika ini tidak menentu.
“Jika keadaan cuaca terlalu tidak mengizinkan, kita serahkan kepada keputusan KDT. Jika mereka kata tangguh, kita terpaksa tangguh.
“Apapun kita berdoa agar keadaan cuaca baik sepanjang SUKSAR berlangsung agar kejohanan ini dapat dianjur dengan jayanya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada sesi raptai penuh perasmian SUKSAR IV 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada Selasa.
SUKSAR IV akan berlangsung dari 5 hingga 8 Februari ini di Sri Aman, Betong dan Lubok Antu dengan mempertandingkan 11 acara sukan.
Tiga daripadanya akan berlangsung di luar iaitu berbasikal, petanque dan sofbol.
Lapan lagi sukan ialah angkat berat, bola jaring, karate, sepak takraw, bola keranjang, tinju, taekwondo dan ping pong.
Sri Aman akan menganjurkan lima jenis sukan iaitu ping pong, bola keranjang, petanque, sofbol dan tinju.
Manakala Betong menjadi tuan rumah empat jenis sukan iaitu berbasikal, angkat berat, taekwondo dan bola jaring.
Dua lagi acara berlangsung di Lubok Antu iaitu sepak takraw dan karate.
Secara keseluruhan, seramai 796 atlet mewakili Zon Utara, Zon Selatan, Zon Barat dan Zon Tengah akan berentap merebut 105 pingat emas yang ditawarkan.
Perasmian SUKSAR IV akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi SUKSAR IV, Datuk Gerald Rentap Jabu di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan pada Rabu.
Manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman pada 8 Februari. - EDISI UKAS