Program Pickleball Demak Baru Perkasa Gaya Hidup Sihat Komuniti
KUCHING: Program Penyerahan Alatan Sukan dan Perlawanan Persahabatan Pickleball bersama komuniti di Demak Baru Fasa 1 mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata penyerahan alatan sukan berkenaan bertujuan menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti riadah dan sukan komuniti, khususnya pickleball yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelbagai peringkat umur.
Katanya, sumbangan kemudahan dan peralatan ini diharap dapat dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan tahap kesihatan fizikal, kesejahteraan mental serta kualiti hidup penduduk.
Selain menyemarakkan aktiviti sukan, program ini turut berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat, di samping memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan kebersamaan dalam komuniti setempat.-EDISI UKAS