SUKSAR 2026 Kukuhkan Platform Atlet Sarawak Ke Pentas Elit
BETONG: Penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) edisi keempat tahun ini merupakan platform strategik bagi memperkukuh persediaan fizikal dan mental atlet Sarawak sebelum melangkah ke kejohanan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, selain menyasarkan untuk mengekalkan juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor kelak, SUKSAR juga berperanan mencari dan menyungkil bakat muda untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa pada masa hadapan.
“Sasaran ini penting bagi membuktikan bahawa atlet Sarawak bukan sahaja mampu menjadi juara di peringkat negeri malah berkeupayaan untuk bersaing secara konsisten dan mengekalkan prestasi cemerlang di peringkat nasional.
“Dalam masa yang sama berpotensi berlangkah ke pentas antarabangsa kerana tahun hadapan kita akan mengadakan Sukan Asia Tenggara (SEA) di Kuching sebagai penganjur bersama dan kemudiannya 2028 Sukan Olimpik akan diadakan.
“Semua ini adalah langkah-langkah kita mempersiap atlet kita bertanding sampai ke persada dunia dan atlet Sarawak dengan bangganya boleh menjadi wakil Malaysia,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian SUKSAR 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi SUKSAR IV 2026 itu turut menekankan harapan Kerajaan Sarawak agar para atlet menjadikan SUKSAR IV 2026 sebagai platform terbaik untuk membuktikan dan menonjolkan kemampuan sebenar, memperkukuh keyakinan diri serta menampilkan semangat juang yang tinggi.
“Gunakanlah peluang ini sepenuhnya sebagai batu loncatan ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya juga menyeru kepada para jurulatih dan pegawai sukan agar terus memainkan peranan penting dalam membimbing atlet secara holistik, bukan sahaja dari sudut prestasi sukan, tetapi juga pembentukan sahsiah, disiplin, kepimpinan serta mentaliti juara yang kental,” katanya lagi. -EDISI UKAS