SUKSAR 2026 Tawar 345 Pingat, Empat Zon Berentap Rebut Kejuaraan
BETONG: Sebanyak 345 pingat bakal menjadi rebutan dalam Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026 yang menghimpunkan atlet-atlet dari Zon Selatan, Zon Barat, Zon Tengah dan Zon Utara sekali gus menjadikan temasya itu antara medan persaingan sukan paling sengit di peringkat negeri ini.
Residen Bahagian Betong merangkap Timbalan Pengerusi Bersama SUKSAR IV 2026, Datu Richard Michael Abunawas berkata, temasya di Bahagian Sri Aman dan Betong dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa pembangunan sukan negeri serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.
“SUKSAR 2026 melibatkan seramai 1,093 peserta yang terdiri daripada atlet, pegawai, kakitangan sokongan dan sukarelawan dari seluruh pelosok negeri. Penyertaan berskala besar ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan kejayaan penganjuran temasya sukan peringkat negeri yang berprestij.
“Sebanyak 11 jenis sukan akan dipertandingkan dengan keseluruhan 345 pingat menjadi rebutan, merangkumi 105 pingat emas, 105 perak dan 135 gangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian SUKSAR 2026 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi SUKSAR 2026 Datuk Gerald Rentap Jabu di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, pada Rabu.
Jumlah pingat yang ditawarkan ini menjadikan SUKSAR 2026 medan persaingan sengit antara kontinjen, sekali gus membuka peluang luas kepada atlet pelbagai disiplin untuk membuktikan keupayaan serta meningkatkan prestasi masing-masing.
Dari segi pengagihan lokasi pertandingan, Sri Aman akan menganjurkan acara bola keranjang, petanque, pingpong, softball dan tinju manakala pula menjadi venue bagi acara angkat berat, berbasikal, bola jaring dan taekwondo, manakala Lubok Antu dipilih sebagai lokasi pertandingan karate dan sepak takraw.
Selain itu katanya, temasya kali ini bukan sahaja menjadi medan persaingan malah berperanan sebagai platform pembentukan sahsiah atlet yang berdisiplin, berintegriti dan berdaya saing tinggi.
“Kehadiran atlet dari seluruh Sarawak melambangkan kesatuan dan kebersamaan, selari dengan aspirasi menjadikan sukan sebagai medium penyatuan serta pembangunan bakat sukan negeri secara berterusan,” katanya lagi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, ADUN Krian Friday Belik, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dzulkornain Masron, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Khairul Nizam Morshidi. -EDISI UKAS