Jambatan Batang Igan Dijangka Dibuka 15 Mac 2026, Pacu Pembangunan Luar Bandar
IGAN: Kerajaan Sarawak terus membuktikan komitmen memperkasa jaringan infrastruktur luar bandar apabila Jambatan Batang Igan dijadualkan dibuka kepada orang awam pada 15 Mac ini, sekali gus melancarkan perhubungan penduduk setempat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan jambatan berkenaan akan menamatkan kebergantungan penduduk setempat terhadap perkhidmatan feri bagi menyeberangi Sungai Batang Igan sekali gus meningkatkan tahap kesalinghubungan kawasan luar bandar.
Menurut beliau, sebelum ini perjalanan menggunakan feri mengambil masa kira-kira 30 minit, namun dengan siapnya jambatan tersebut tempoh perjalanan dapat dipendekkan kepada hanya beberapa minit, sekali gus memudahkan urusan harian penduduk.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyambungan Akhir Jambatan Batang Igan, di sini pada Rabu.
Datuk Amar Douglas Uggah turut menjelaskan bahawa projek berkenaan dijangka membawa perubahan besar khususnya dari segi kemudahan asas, akses pendidikan serta kesejahteraan rakyat di kawasan terlibat.
Selain itu katanya, pembinaan jambatan berkenaan juga bakal membuka lebih banyak peluang kepada perkembangan aktiviti sosioekonomi serta merancakkan penerokaan potensi ekonomi sedia ada di kawasan sekitar.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta pihak kontraktor atas komitmen dan dedikasi tinggi dalam memastikan projek tersebut disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan pembinaan jambatan ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, ADUN Tellian, Royston Valentine, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Chiew Chee Yau serta Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris.- EDISI UKAS