KUCHING: Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) hari ini melancarkan TechFrontier Incubator Kohort 1, satu inisiatif strategik bagi mempercepat pengkomersialan penyelidikan, merangsang penciptaan perusahaan berasaskan teknologi mendalam serta menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi di Sarawak.
Pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Sarawak Digital Economy Blueprint yang menekankan pertumbuhan dipacu inovasi, pendigitalan serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi ke arah status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menurut Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman, TechFrontier Incubator bukan sekadar platform sokongan inovasi, sebaliknya berperanan menukar modal intelek kepada nilai ekonomi sebenar melalui pembentukan perusahaan baharu, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan kedudukan Sarawak sebagai hab Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam teknologi digital.
“Program ini bertujuan merapatkan jurang antara penyelidikan dan industri dengan membantu transformasi teknologi yang telah disahkan kepada penyelesaian berskala dan bersedia untuk pasaran, sekali gus memberi impak langsung kepada ekonomi Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media.
TechFrontier Incubator membuka peluang kepada para penyelidik untuk memperluaskan hasil penyelidikan melangkaui persekitaran makmal, dengan tumpuan kepada inovasi berpotensi tinggi yang mampu menjana nilai ekonomi dan sosial kepada negeri.
Bagi kohort sulung, SDEC melantik NEXEA sebagai rakan pelaksana program yang menyediakan bimbingan berstruktur, pemadanan usahawan serta akses kepada rangkaian pengasas berpengalaman dan pelabur.
Pasukan berpotensi tinggi turut berpeluang mendapatkan pembiayaan pelaburan sehingga RM250,000 bagi mempercepat pembangunan produk dan kemasukan pasaran.
Program ini memberi fokus kepada teknologi pemangkin utama termasuk Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), keselamatan siber dan penyelesaian tenaga, yang diaplikasikan merentas sektor strategik seperti pertanian, kesihatan, teknologi makanan, pembinaan dan pelancongan.
Melalui pendekatan menyeluruh ini, TechFrontier Incubator dijangka merangsang penubuhan syarikat baharu berasaskan teknologi, menarik pelaburan berkualiti serta menyumbang kepada impak ekonomi mampan dan pembangunan ekosistem inovasi Sarawak.-EDISI UKAS