KKDW Perkasa Belia Luar Bandar Sarawak Melalui TVET
KUCHING: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus komited memperkasa golongan belia luar bandar di Sarawak termasuk di kawasan Parlimen Igan menerusi pelbagai inisiatif strategik merangkumi latihan kemahiran, keusahawanan serta pembangunan ekonomi berasaskan pertanian moden selaras dengan aspirasi Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, kementerian sentiasa komited memastikan pembangunan belia luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Kementerian sentiasa memberi penekanan serius terhadap agenda pembangunan belia luar bandar dengan menyediakan sokongan menyeluruh bagi meningkatkan kebolehpasaran, peluang pekerjaan serta pendapatan golongan sasar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi semasa Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di sini pada Rabu.
Beliau menambah, antara fokus utama KKDW ialah menggalakkan penglibatan belia dalam bidang keusahawanan melalui agensi-agensi di bawah kementerian yang menyediakan latihan, bimbingan perniagaan, skim pembiayaan dan akses pasaran, termasuk pelaksanaan Program Start Right 2.0 bagi memberi pendedahan awal kepada belia luar bandar berkemahiran untuk menceburi dunia keusahawanan secara tersusun dan mampan.
Dalam aspek pembangunan kemahiran, Datuk Rubiah berkata, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkukuh supaya selari dengan keperluan industri semasa, dengan KKDW kini mempunyai 281 institusi TVET yang menawarkan 580 program merangkumi 15 kluster bidang kemahiran serta mencatat kadar kebolehpasaran graduan sehingga 95 peratus bagi dua tahun kebelakangan ini.
Mengulas mengenai inisiatif khusus di Sarawak, beliau berkata, terdapat 31 GIATMARA yang menjadi platform utama bagi belia tempatan meningkatkan kemahiran teknikal, selain pelaksanaan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) yang melibatkan lima projek di negeri itu dengan penyertaan 25 kampung bagi membangunkan produk niche dan mewujudkan ekonomi berskala.
Beliau menambah, pelbagai program kesejahteraan rakyat seperti Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) turut dilaksanakan bagi membantu belia luar bandar meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran serta peluang pekerjaan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi desa secara inklusif.-EDISI UKAS