Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65 Bermula
SERIAN: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65 Tahun 1447H/2026M yang menghimpunkan qari dan qariah terbaik dari seluruh negeri membuka tirainya secara rasmi pada malam ini di Serian Conference Centre.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, yang menandakan bermulanya pertandingan tilawah dan hafazan Al-Quran di peringkat negeri bagi tahun ini.
Majlis diteruskan dengan pertandingan tilawah melibatkan dua qari dan seorang qariah yang mempamerkan keindahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, sekali gus menarik tumpuan para hadirin yang memenuhi dewan.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri ini berlangsung dari 4 hingga 7 Februari depan dengan penyertaan peserta dalam kategori hafazan dan tilawah yang akan dinilai oleh barisan jemaah hakim berpengalaman serta berkelayakan.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan menggilap bakat serta kecemerlangan peserta dalam bidang Al-Quran, malah berperanan memupuk penghayatan terhadap ajaran Islam serta memperkukuh nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat.
Kemuncak majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada 7 Februari ini dan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.-EDISI UKAS