SERIAN: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65 bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menghayati kandungan kitab suci Al-Quran sebagai asas pembinaan ilmu, pembangunan ekonomi serta kemajuan tamadun manusia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Al-Quran mengandungi panduan menyeluruh yang bukan sahaja membentuk akhlak, malah menjadi sumber ilmu bagi memacu pembangunan manusia dan negeri.
Menurut beliau, umat Islam perlu meneladani pemikiran tokoh ilmuwan Islam seperti Ibnu Khaldun yang mengaitkan pembangunan masyarakat dengan kekuatan ilmu serta keupayaan manusia mengurus perubahan.
“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka.
“Ini bermakna perubahan memerlukan ilmu dan ilmu itu penting untuk kita membangunkan bumi serta meneroka potensi baharu, termasuk bidang angkasa dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Malam Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 2026 bertemakan “Ummah Maju Makmur: Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam” di Serian Conference Centre pada Rabu.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak memberi penekanan besar terhadap pembangunan pendidikan percuma dan berkualiti kepada semua anak Sarawak tanpa mengira agama, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Jelasnya, usaha itu termasuk kerjasama strategik dengan universiti antarabangsa seperti Universiti Bristol dalam bidang semikonduktor serta penghantaran pelajar Sarawak untuk meneroka teknologi generasi baharu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pembangunan mesti diseimbangkan dengan penjagaan alam sekitar bagi menangani cabaran perubahan iklim.
Dalam hal ini, Sarawak katanya, terus komited menggunakan tenaga hijau sebagai pendekatan pembangunan mampan, sekali gus menjadi contoh kepada negara lain sehingga dijemput berkongsi pengalaman di peringkat antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan rancangan membangunkan Pusat Pengembangan Islam yang kekal di Petra Jaya sebagai hab ilmu berteraskan Al-Quran yang turut terbuka untuk perkongsian ilmu dengan masyarakat bukan Islam.
“Ilmu tidak mempunyai sempadan. Ia boleh dimanfaatkan oleh semua kaum untuk membina peradaban yang lebih maju dan seimbang,” ujarnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan simbolik perasmian Al-Quran penterjemahan dalam bahasa Bidayuh Sadong kepada tiga Ketua Masyarakat dan ketua Kaum di Daerah Serian.
Hadir sama, anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dato Idris Buang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta Ketua-Ketua Jabatan yang hadir. - EDISI UKAS