Kerajaan Sarawak Komited Perkukuh Pembangunan Prasarana Luar Bandar
PAKAN: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pembangunan prasarana luar bandar sebagai usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya komuniti rumah panjang di kawasan pedalaman.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom menegaskan bahawa kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, tuai-tuai rumah dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar serta menepati keperluan sebenar rakyat.
Menurut beliau, penglibatan proaktif ketua-ketua masyarakat dalam menyalurkan pandangan dan cadangan akan membantu agensi kerajaan mengenal pasti projek yang benar-benar memberi impak kepada komuniti setempat.
“Tanpa buah fikiran dan maklum balas daripada pemimpin masyarakat, adalah sukar untuk kerajaan menentukan projek yang paling diperlukan oleh rakyat di rumah-rumah panjang,” katanya semasa lawatan ke tapak Projek Naik Taraf Prasarana Rumah Panjang Anding anak Igoh di Entegelam, Wak Pakan pada Selasa.
Lawatan tersebut turut disertai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei yang bertanggungjawab melaksanakan projek naik taraf jalan pertanian di beberapa rumah panjang dalam kawasan DUN Pakan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan menjelaskan, projek naik taraf jalan pertanian yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Sarikei memberi manfaat besar kepada pekebun kecil, khususnya dalam memudahkan pengeluaran hasil kebun dengan lebih cepat dan dalam kuantiti yang lebih banyak.
Sementara itu, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi naik taraf jalan pertanian di Rumah Anding yang bernilai RM100,000 turut membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pembangunan prasarana luar bandar dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
Usaha ini jelasnya selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan secara inklusif dan mampan. - EDISI UKAS