Acara Berbasikal Lebuhraya Lelaki SUKSAR IV 2026 Dibuka Dengan Saingan 21 Pengayuh
BETONG: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 membuka tirainya menerusi acara Perlumbaan Berbasikal Lebuhraya Kategori Lelaki (Mula Serentak) yang menyaksikan seramai 21 pengayuh daripada empat zon berentap merebut gelaran juara.
Saingan sengit itu melibatkan wakil dari Zon Selatan, Zon Barat, Zon Tengah dan Zon Utara, dengan Zon Selatan, Zon Barat dan Zon Utara masing-masing menghantar enam pengayuh, manakala Zon Tengah mempertaruhkan tiga pengayuh.
Acara pelepasan yang berlangsung seawal 7.30 pagi di Dataran Medan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dzulkornain Masron.
Kesemua peserta kategori lelaki perlu mengharungi laluan mencabar sejauh 116 kilometer dengan jumlah pendakian 780 meter sepanjang perlumbaan di Lebuhraya Pan Borneo, sekali gus menguji ketahanan fizikal serta strategi kayuhan setiap pasukan.
Sementara itu, acara Perlumbaan Berbasikal Lebuhraya Kategori Wanita dijadualkan berlangsung pada 1 tengah hari dengan penyertaan sembilan pengayuh.
Zon Selatan menghantar tiga wakil, Zon Barat empat pengayuh, Zon Utara dua pengayuh, manakala Zon Tengah tidak menghantar wakil bagi kategori ini.
Bagi kategori wanita, para pengayuh bakal menempuh jarak perlumbaan sejauh 105 kilometer dengan pendakian keseluruhan 710 meter.
Majlis penyampaian pingat bagi kedua-dua kategori dijadualkan berlangsung pada 5 petang hari ini. -EDISI UKAS