Poomsae Taekwondo Buka Tirai Kejohanan SUKSAR IV 2026 Di Betong
BETONG: Acara Taekwondo bagi kategori Poomsae membuka tirai pertandingan sempena Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berlangsung di Dewan SJK (C) Chung Hua, di sini pada Khamis.
Suasana dewan jelas memperlihatkan semangat kesukanan yang tinggi apabila para atlet mempamerkan tahap disiplin, fokus serta ketelitian dalam memastikan setiap pergerakan poomsae dapat dipersembahkan dengan kemas, tepat dan bertenaga mengikut piawaian pertandingan yang ditetapkan.
Acara Poomsae memberi penekanan kepada keupayaan atlet dalam mempersembahkan rangkaian teknik Taekwondo yang menilai aspek keseimbangan, ketepatan, kawalan pergerakan serta ekspresi, tanpa melibatkan perlawanan fizikal secara langsung.
Penganjuran acara ini oleh Sekretariat SUKSAR IV 2026 berperanan sebagai platform penting untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan Taekwondo, di samping memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi di peringkat negeri selaras dengan objektif penganjuran SUKSAR.
Orang ramai turut dijemput hadir bagi memberikan sokongan moral kepada para atlet yang bertanding serta bersama-sama memeriahkan acara sukan berprestij ini yang menjadi medan pembentukan bakat dan kecemerlangan atlet Sarawak.-EDISI UKAS