Pembinaan Klinik Kesihatan Julau Tingkat Akses Perkhidmatan Kesihatan
JULAU: Pembinaan Klinik Kesihatan Julau yang baharu dijangka memberi impak signifikan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan khususnya kepada penduduk di kawasan pedalaman Daerah Julau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif penting kerajaan dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, moden dan berkualiti dapat dinikmati oleh rakyat, khususnya di kawasan Meluan dan sekitarnya.
Menurut beliau, pembinaan klinik kesihatan baharu itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan rawatan sedia ada, malah dapat mengurangkan keperluan penduduk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di bandar lain yang jaraknya agak jauh seperti Sarikei dan Sibu.
“Pelaksanaan projek ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memenuhi keperluan asas rakyat, terutamanya bagi memastikan kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat luar bandar terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kerja-kerja permulaan pembinaan Klinik Kesihatan Julau yang baharu, semalam.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa projek tersebut melibatkan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4 (KK4) yang lengkap dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), kuarters kakitangan serta pelbagai kemudahan sokongan lain.
Tambahnya, skop kerja projek merangkumi kerja-kerja tanah, pembinaan bangunan, pemasangan sistem mekanikal dan elektrikal, sistem saliran, landskap, pagar keselamatan, penyediaan tempat letak kenderaan serta kemudahan dalaman dan luaran bagi menyokong operasi perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.
Projek pembinaan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan tempoh kontrak selama 3 tahun dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028.- EDISI UKAS