13 Perenang Top Speed Aquatic Wakili Sarawak Ke Kejohanan Renang Kumpulan Umur Kebangsaan Ke-61
MIRI: Seramai 13 perenang muda daripada Kelab Renang Top Speed Aquatic, Miri, berjaya melayakkan diri untuk mewakili Sarawak ke Kejohanan Renang Kumpulan Umur Kebangsaan Ke-61 serta Kejohanan Jemputan Antarabangsa yang akan berlangsung dari 5 hingga 8 Februari ini di Kuala Lumpur.
Kejohanan berprestij tersebut dijangka menghimpunkan kira-kira 1,200 perenang terbaik dari seluruh negara, sekali gus menjadikannya antara platform pembangunan bakat renang paling besar di Malaysia.
Penasihat merangkap jurulatih kelab, David Chung, berkata kejohanan berkenaan merupakan pentas penting buat perenang muda Sarawak untuk melangkah ke tahap lebih tinggi dalam arena kompetitif.
“Selain menguji keupayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, kejohanan ini juga menjadi medan utama penilaian serta pemilihan perenang yang berpotensi mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor,” katanya ketika ditemui media pada Rabu.
Pasukan Sarawak kali ini dibarisi beberapa perenang berpengalaman, antaranya Huang Rui Jie, Tie Xun Rui, Lau Yu Rong dan Liysha Liung Chen, yang dijangka menjadi sandaran utama pasukan dalam menghadapi saingan sengit daripada perenang negeri lain serta peserta antarabangsa.
Dalam pada itu, sembilan lagi perenang bakal mencipta penampilan sulung mewakili Sarawak di kejohanan kebangsaan, iaitu Kong Jia Chee, Tiong Yi En, Chan Ka Ming, Sim Qi Yun, Yii Shu Hong, Yuen En Chee, Tu Shao Han, Chong Xin Ying dan Soh En Hao, sekali gus mencerminkan peluasan bakat baharu dalam pembangunan sukan renang negeri.-EDISI UKAS