Isu Pemendapan Lumpur Organik Jejas Laluan Bot Nelayan Di Kuala Baram
MIRI: Isu pemendapan lumpur dan sisa organik di kawasan belakang struktur pemecah ombak Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kampung Batu 1, Kuala Baram dikenal pasti menjejaskan laluan keluar masuk bot nelayan setempat dan memerlukan tindakan segera serta penyelesaian jangka panjang.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu berkenaan di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Miri, pada Khamis.
Menurut beliau, hasil lawatan kerja ke tapak projek mendapati kawasan di belakang struktur pemecah ombak yang dibina lebih setahun lalu kini mengalami pemendapan serius melibatkan lumpur dan sisa organik laut, sekali gus menyukarkan pergerakan bot nelayan terutama ketika musim monsun.
“Walaupun projek pemecah ombak ini berjaya menyelesaikan masalah banjir serta ombak besar yang sebelum ini membawa sampah ke jalan raya, namun pemendapan di kawasan belakang struktur tersebut kini menjadi cabaran berterusan khususnya ketika musim monsun,” katanya.
Beliau memaklumkan kira-kira 55,000 meter padu lumpur organik telah mendap di kawasan berkenaan dan sejak lebih setahun lalu, DID Sarawak melaksanakan kerja pembersihan secara berkala sebagai langkah sementara bagi memastikan aktiviti nelayan tidak terjejas.
Bagi tindakan segera, katanya, DID Sarawak telah memperoleh peruntukan dan mengarahkan DID Bahagian Miri memanggil sebut harga bagi melantik kontraktor baharu, dengan kerja-kerja pembersihan serta pengorekan saluran dijangka bermula seawal minggu hadapan sebaik kontrak dianugerahkan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan dua cadangan penyelesaian jangka panjang turut dikemukakan oleh pihak DID, iaitu mengalihkan struktur groin sedia ada atau menambak kawasan mendap serta membina laluan baharu yang lebih sesuai untuk pergerakan bot nelayan.
“Penduduk kampung dan komuniti nelayan telah diberi penjelasan mengenai kebaikan dan keburukan setiap cadangan. Mereka diberikan tempoh dua minggu untuk berbincang sebelum membuat keputusan muktamad,” jelasnya.
Beliau turut membangkitkan isu banjir di beberapa kawasan sekitar Miri dan merakamkan penghargaan kepada DID, Majlis Bandaraya Miri (MBM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) atas tindakan proaktif menangani masalah tersebut.
Menurutnya, pembinaan serta pembersihan kolam takungan di Desa Senadin berjaya menurunkan paras air dengan ketara, manakala kerja-kerja pembersihan parit dan longkang di kawasan perumahan serta komersial sedang giat dijalankan.
“Kerjasama erat antara DID, MBM dan JKR amat penting bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan berkesan, terutama menjelang musim hujan dan fenomena air pasang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah haram termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih di bawah inisiatif Bandar Pintar serta menggesa orang ramai memanfaatkan perkhidmatan pelupusan sisa yang disediakan, khususnya menjelang musim perayaan.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi serta pegawai kanan JKR dan MBM Miri. -EDISI UKAS