Perkhidmatan Awam Sabah & Sarawak Diperkasa Melalui MTPMA63
KUCHING: Usaha memperkukuh perkhidmatan awam di Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperkasakan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dengan perbincangan menumpukan kepada strategi bagi meningkatkan keberkesanan, profesionalisme serta integriti perkhidmatan awam di kedua-dua negeri.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah isu borneonisasi perkhidmatan awam persekutuan di Sabah dan Sarawak serta keperluan pertambahan perjawatan perkhidmatan awam bagi kedua-dua negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, yang berada dalam fungsi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kedua-dua inisiatif berkenaan bertujuan memastikan lebih ramai pegawai tempatan berkhidmat di negeri masing-masing, sekali gus memperkukuh kapasiti pentadbiran, kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di kedua-dua negeri.
Hadir mengetuai delegasi Kerajaan Sabah ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Zainudin Aman, manakala Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mewakili Kerajaan Sarawak.
Turut hadir memastikan proses rundingan berjalan lancar ialah Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) Aidah Awang dan Timbalan Peguam Besar Negeri Sabah Suzumaidah Hussain. -EDISI UKAS