Perayaan Jadi Platform Kukuh Perpaduan dan Keharmonian di Sarawak
KUCHING: Majlis Switching On Chinese New Year Lighting 2026 di White Cat, Padungan menjadi simbol perpaduan masyarakat Sarawak dalam meraikan kepelbagaian budaya secara bersama dan harmoni.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, berkata sambutan perayaan di Sarawak bukan sahaja diraikan oleh sesuatu kaum, malah menjadi milik bersama seluruh rakyat negeri ini.
Menurut beliau, usaha menghias mercu tanda White Cat di Padungan bersempena Tahun Baharu Cina mencerminkan semangat Sarawak yang meraikan kepelbagaian budaya secara inklusif.
“Setiap perayaan, kucing ikonik ini akan mengenakan kostum baharu. Inilah semangat Sarawak, di mana setiap perayaan diraikan bersama oleh semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Switching On Chinese New Year Lighting 2026 di White Cat, Padungan, di sini malam tadi.
Beliau berkata semangat tersebut selari dengan gelaran Kuching sebagai Bandar Perpaduan dan Bandar Keharmonian, yang menekankan peranan semua pihak dalam memastikan keharmonian masyarakat terus dipelihara.
Tambahnya, sambutan perayaan juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana mesra dan mengalu-alukan kepulangan anak Sarawak yang berada di luar negeri sempena musim perayaan.
“Kita mahu mereka yang pulang merasai bahawa Sarawak adalah rumah mereka, sebuah negeri yang sentiasa menyambut kepulangan rakyatnya dengan penuh mesra,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim turut memaklumkan bahawa Majlis Sambutan Rasmi Tahun Baharu Cina Kerajaan Sarawak akan diadakan pada hari pertama perayaan tersebut di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Beliau berkata sambutan itu akan menampilkan persembahan bakat tempatan sebagai usaha mempromosikan seni dan budaya tempatan, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang inklusif dan mampan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Ini mencerminkan nilai kemakmuran, keterangkuman dan kelestarian yang menjadi teras pembangunan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, berkata konsep hiasan White Cat pada tahun ini diinspirasikan daripada tema Tahun Kuda yang melambangkan kemajuan, kelajuan dan kejayaan.
Menurut beliau, rekaan tersebut turut mengambil kira aspirasi pembangunan negeri, termasuk pelaksanaan sistem Pengangkutan Aliran Automasi (ART).
“Jika diperhatikan, kucing ini digambarkan sebagai pemandu dengan landasan di hadapan, melambangkan pergerakan ke hadapan dan hala tuju pembangunan Sarawak,” katanya dalam temubual bersama media.
Beliau menegaskan bahawa MBKS sentiasa menyokong visi pembangunan Kerajaan Sarawak dan menggalakkan masyarakat untuk memberi sokongan serta cadangan membina terhadap setiap inisiatif yang dilaksanakan.
“Beri ruang kepada sesuatu perancangan untuk dilaksanakan. Jika ada pandangan, kemukakan secara membina supaya kita boleh menambah baik,” katanya.
Tambah beliau, hiasan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini turut menekankan elemen kelestarian, antaranya penggunaan tayar kitar semula serta sumbangan lampu tanglung oleh komuniti setempat.
Menurutnya, penglibatan masyarakat dan sektor swasta mencerminkan tahap keyakinan terhadap pentadbiran bandar serta semangat kebersamaan dalam membangunkan Kuching.
“Kita mahu semua pihak memainkan peranan masing-masing dan bersama-sama menyumbang ke arah pembinaan bandar dan negeri yang lebih maju,” katanya.
Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi simbol sambutan perayaan, malah mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa tempatan dalam memupuk perpaduan, keharmonian dan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Sarawak. - EDISI UKAS