Persetujuan Nilai RM1.8 Bilion Ambil Alih Pelabuhan Bintulu Dicapai Hasil Rundingan Kerajaan Persekutuan-Sarawak
KUCHING: Persetujuan nilai RM1.8 bilion bagi pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak dicapai hasil rundingan secara harmoni antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak dalam satu kenyataan media pada Jumaat memaklumkan bahawa persetujuan tersebut merupakan hasil perbincangan konstruktif yang mencerminkan semangat kerjasama erat antara kedua-dua kerajaan.
“Penilaian tersebut mewakili nilai gabungan aset pelabuhan berdasarkan penilaian terperinci dan rundingan. Ia bukanlah angka yang sembarangan,” kata kenyataan itu.
MIPD menambah, sebelum ini, tanah yang diperuntukkan untuk Pelabuhan Bintulu telah dialihkan kepada Kerajaan Persekutuan, dengan premium tanah dibayar kepada Kerajaan Sarawak.
Infrastruktur utama, termasuk Terminal LNG dan Minyak, juga dibina atas kos Lembaga Pelabuhan Bintulu, katanya.
MIPD menegaskan, pengambilalihan ini membolehkan Sarawak menyelaras pembangunan semua pelabuhan di negeri ini dengan lebih tersusun dan cekap, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak sebagai hab perdagangan dan logistik di rantau ini.
“Langkah ini selaras sepenuhnya dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, yang mengutamakan infrastruktur moden dan bersepadu untuk memacu kepelbagaian ekonomi, pertumbuhan mampan dan peningkatan ketersambungan; memberi manfaat kepada Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya,” menurut kenyataan tersebut.
Kementerian tersebut kekal komited untuk mengurus pelabuhan Sarawak secara bertanggungjawab serta meneruskan kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan demi kemakmuran bersama.-EDISI UKAS