SRI AMAN: Saingan bola keranjang sempena Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 terus sengit apabila perlawanan pusingan awal bagi kategori lelaki dan wanita berlangsung pada hari kedua kejohanan di Mini Stadium Sri Aman, pada Jumaat.
Bagi kategori lelaki 5x5, perlawanan pusingan awal yang bermula seawal jam 9 pagi menyaksikan Pasukan Zon Utara mencatat kemenangan tipis ke atas Pasukan Zon Selatan dengan keputusan 66–62.
Aksi bertenaga serta corak permainan berpasukan yang kemas daripada kedua-dua pasukan menjadikan perlawanan tersebut berlangsung kompetitif sehingga ke wisel penamat, sekali gus menarik perhatian para penonton yang hadir.
Sementara itu, saingan kategori wanita turut menyajikan perlawanan yang tidak kurang hebatnya apabila Pasukan Wanita Zon Tengah berdepan Pasukan Wanita Zon Barat.
Perlawanan berlangsung dalam tempo pantas dengan perbezaan jaringan yang amat kecil sebelum Pasukan Wanita Zon Tengah muncul sebagai pemenang dengan keputusan 41–40.
Keputusan perlawanan hari ini membuktikan tahap persaingan yang tinggi dalam SUKSAR IV 2026, selain mencerminkan peningkatan mutu permainan bola keranjang di peringkat zon. - EDISI UKAS