SIMANGGANG: Pasukan tuan rumah, Zon Barat, mencatat kemenangan tipis 13-12 ke atas pasukan Zon Tengah pada perlawanan pusingan pertama acara petanque, kategori beregu lelaki sempena Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berlangsung pada Jumaat di Padang Petanque Kompleks Sukan Sri Aman.
Beregu lelaki tuan rumah, Abang Muhamad Razique Fikri Abang Rosni Syed Ahmad dan Ahmad Afzan Hafiz Wan Eriwan, berjaya menundukkan peserta lawan, Dannish Riddaudheen Shamsuddin dan Ahmad Afif Zaquan Amran dalam pertarungan sengit itu.
Dalam perlawanan lain kategori beregu lelaki, Zon Selatan turut mencatat kemenangan 13-6 ke atas Zon Utara.
Pasukan mereka, Muhamad Adam Aidil Mustapa dan Muhamad Amin Abdullah, menewaskan Abdul Faris Hakimi Abdul Talib dan Muhamad Mu’tashim Aiman Junaidi.
Sementara itu, kategori beregu wanita menyaksikan Zon Barat tewas kepada Zon Utara 5-13 melalui aksi Putri Alya Adriana Mohd Nazzurudin dan Sharifah Ilya Adreyana Wan Deros, yang gagal menandingi Nurfarzana Frizal dan Nurul Fatin Junaidi.
Satu lagi perlawanan memperlihatkan Zon Tengah menewaskan Zon Selatan 13-11, diwakili Jessie Jessica Richard Dickson menentang Nur Durratul Faiqah Yazit dan Nur Izzah Fatini Yusuf Abdullah.
Hadir menyaksikan perlawanan tersebut, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi SUKSAR 2026, Datuk Gerald Rentap Jabu, yang turut melakukan lawatan ke padang petanque bagi memastikan kelancaran pertandingan.- EDISI UKAS