5,837 Individu Terima Manfaat JKM Sri Aman, Libat Implikasi Kewangan RM2.66 juta Sebulan
SIMANGGANG: Sejumlah 5,837 individu telah menerima manfaat daripada pelbagai skim bantuan kewangan bulanan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman menjelang Januari tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, bantuan kewangan itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2,664,600 sebulan.
"Daripada jumlah penerima, 1,177 individu adalah merupakan penerima bantuan bulanan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang yang melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM533,950 sebulan.
"Daripada jumlah itu juga, seramai 234 orang penerima bantuan kawasan DUN Simanggang ini adalah merupakan penduduk kaum Cina dengan jumlah peruntukan sebanyak RM108,600 sebulan," katanya ketika merasmikan Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2026 anjuran JKM Bahagian Sri Aman di Hotel BME di sini, pada Jumaat.
Datuk Francis Harden yang juga ADUN Simanggang berkata, statistik tersebut jelas menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan khususnya di kawasan DUN Simanggang.
"Bantuan ini merangkumi semua lapisan masyarakat mulai daripada kanak-kanak, golongan berpendapatan rendah, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit terlantar hingga ke golongan warga emas," ujarnya.
Terdahulu, sejumlah 100 klien JKM Bahagian Sri Aman menerima hamper bernilai RM80 dan wang tunai berjumlah RM100 seorang menerusi Program Sejambak Kasih Tahun Baru Cina.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pegawai Kebajikan Bahagian Sri Aman Sharifah Mordiah Syed Ali, Temenggong Kueh Aik Seng dan Temenggong Leonard Libau Anol.-EDISI UKAS