Pencahayaan Baharu Taman Sahabat Tambah Seri Sambutan Tahun Baharu Cina
KUCHING: Upacara pencahayaan baharu di Taman Sahabat menandakan penyempurnaan fasa akhir kerja naik taraf taman tersebut sekali gus menjadikannya lebih terang dan ceria untuk kemudahan orang ramai.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, projek berkenaan melibatkan pendawaian semula serta penambahbaikan sistem pencahayaan termasuk lampu dekoratif bagi mewujudkan suasana lebih selamat dan menarik.
Menurut beliau, usaha tersebut selaras dengan komitmen Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk terus mempertingkat kemudahan awam di semua taman di bawah pentadbirannya.
“Seperti yang dijanjikan kepada masyarakat, kami akan terus menambah baik ruang awam di seluruh taman di Kuching bagi memastikan persekitaran yang lebih selesa untuk aktiviti riadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir pada Majlis ‘Switching On Decorative Lighting 2026 bersempena Tahun Baharu Cina di Taman Sahabat Kuching pada Jumaat.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian serta tetamu yang hadir.
Dalam pada itu, Taman Sahabat turut menjadi lokasi penganjuran Bazar Tahun Baharu Cina yang menampilkan kira-kira 36 hingga 40 gerai dengan pelbagai pilihan makanan kreatif.
Beliau memaklumkan, bazar tersebut merupakan yang ketiga dianjurkan MBKS tahun ini selepas di Taman Kenyalang, manakala satu lagi akan berlangsung di Pending, sekali gus memperluas penganjuran daripada satu kepada tiga lokasi.
Tambahnya, setiap lokasi mempunyai tarikan tersendiri dan mampu menarik kumpulan pengunjung yang berbeza untuk memeriahkan sambutan perayaan.
Orang ramai turut digalakkan singgah selepas beriadah bagi menikmati suasana serta kemeriahan yang disediakan sempena Tahun Baharu Cina.-EDISI UKAS