Perancangan Rapi Membuahkan Emas, Zon Selatan B Juara Bola Jaring SUKSAR IV
BETONG: Perancangan awal yang disusun secara sistematik membuahkan hasil apabila skuad bola jaring Zon Selatan B berjaya mencapai sasaran utama dengan merangkul gelaran juara sekali gus menghadiahkan pingat emas dalam kejohanan bola jaring Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Ketua jurulatih pasukan, Magdalene Muring Baru berkata, sasaran untuk muncul juara telah ditetapkan sejak awal kejohanan dan prestasi yang dipamerkan pemain sepanjang perlawanan menepati sepenuhnya perancangan taktikal pasukan.
“Untuk perlawanan hari ini, kita memang sudah merancang lebih awal dan sasaran kita jelas iaitu untuk bergelar juara.
"Apa yang dicapai oleh pemain hari ini memang dalam target kita. Syukur, semua menjalankan tugas dengan sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Pingat Acara Bola Jaring yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, pada Sabtu.
Dalam saingan akhir, Zon Selatan B terpaksa menundukkan rakan zon yang sama iaitu Zon Selatan A dalam pertembungan yang sengit, namun skuad pimpinan Magdalene tampil lebih unggul setelah keputusan berakhir dengan jaringan 61-42 bagi memastikan emas milik mereka.
Terdahulu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi SUKSAR IV 2026, Datuk Gerald Rentap Jabu turut berkesempatan menyaksikan perlawanan perebutan pingat gangsa antara Zon Tengah dan Zon Utara B.
Mengulas prestasi pasukan, beliau mengakui masih terdapat beberapa kelemahan kecil khususnya melibatkan kesilapan hantaran dan situasi serangan, namun memuji tahap disiplin serta keupayaan pemain menutup kelemahan tersebut dengan baik.
“Memang ada beberapa kesilapan, tetapi pemain mampu menutup kelemahan itu dan itu yang kita mahukan di mana mereka bertanggungjawab dan mencuba memperbaikinya semula,” jelasnya lagi.
Beliau turut menegaskan kejayaan ini lebih bermakna kerana pasukan dibarisi majoriti pemain muda, sekali gus menunjukkan potensi besar untuk pembangunan skuad pada masa hadapan.
“Kebanyakan pemain adalah pemain muda iaitu tiga pemain berusia seawal 15 tahun, manakala selebihnya terdiri daripada pelajar Tingkatan Empat dan Lima, dengan hanya tiga pemain lepasan sekolah,” katanya.
Menurut beliau, pencapaian pingat emas ini bukan penamat, sebaliknya menjadi asas penting dalam perancangan jangka panjang pasukan ke arah temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
“Selepas ini kita akan teruskan latihan untuk persediaan SUKMA. Beberapa pemain sudah berada dalam senarai panjang, dan kita juga menilai pemain berpotensi dari zon lain untuk diserapkan ke dalam senarai tersebut,” ujarnya.
Zon Selatan A pula terpaksa akur dengan kekalahan di saingan akhir untuk menambah koleksi pingat perak untuk Zon Selatan manakala Zon Tengah muncul selaku pemenang pingat gangsa setelah mengalahkan Zon Utara B. -EDISI UKAS