Heart Health 2026 Perkukuh Kesedaran Pencegahan Penyakit Jantung
KUCHING: Program Heart Health 2026 anjuran Yayasan Jantung Sarawak terus menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit jantung dan strok, di samping memupuk amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Sarawak.
Program berteraskan komuniti ini merangkumi saringan kesihatan percuma, ceramah, seminar serta aktiviti promosi kesihatan yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Jantung Sarawak (PJS), hospital-hospital di seluruh Sarawak serta pelbagai agensi dan organisasi berkaitan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, walaupun Sarawak kini memiliki kemudahan rawatan jantung bertaraf antarabangsa, usaha pencegahan perlu diberi penekanan berterusan bagi mengekang peningkatan kes penyakit jantung.
“Kita berbangga kerana Pusat Jantung Sarawak merupakan satu-satunya pusat jantung di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang tersenarai dalam 100 pusat jantung terbaik di rantau Asia Pasifik.
"Namun, sekiranya pencegahan tidak diperkasakan, jumlah pesakit akan terus meningkat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan pada Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa Yayasan Jantung Sarawak sejak penubuhannya pada akhir 1980-an telah memainkan peranan besar dalam pembangunan perkhidmatan kardiologi di negeri ini, termasuk penyediaan peralatan perubatan, penambahbaikan fasiliti serta peluasan akses rawatan jantung ke Bintulu dan Sibu.
Menurutnya, kesedaran awam merupakan komponen paling penting dalam memastikan rakyat Sarawak kekal sihat dan tidak bergantung sepenuhnya kepada rawatan hospital.
“Kita bukan sekadar mahu membina hospital dan merawat pesakit, sebaliknya kita mahu melihat rakyat Sarawak kekal sihat, aktif dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” ujarnya.
Program Heart Health 2026 turut mendapat sokongan padu pelbagai pihak termasuk Majlis Perbandaran Padawan sebagai penyedia venue, Pusat Jantung Sarawak yang mengendalikan saringan kesihatan dan fisioterapi, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Kuching yang mengadakan demonstrasi resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta penggunaan defibrilator automatik luaran (AED), selain Pusat Perubatan Borneo yang menguruskan aktiviti derma darah.
Selain saringan kesihatan, program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik, tarian dan persembahan muzik oleh sekolah serta pertubuhan komuniti setempat sebagai galakan kepada amalan gaya hidup aktif dan sihat.
Program ini selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam membina masyarakat yang sihat, berdaya tahan dan berpengetahuan, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri ke arah Sarawak Maju dan Makmur menjelang 2030.- EDISI UKAS