Sofbol Masuki Hari Ketiga, Aksi Penentuan Pingat Gangsa Curi Tumpuan
SRI AMAN: Kejohanan Sofbol Fastpitch sempena Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Sri Aman memasuki hari ketiga pada Sabtu dengan perlawanan peringkat akhir kumpulan serta aksi penentuan pingat gangsa.
Aksi pada sebelah pagi dimulakan dengan perlawanan antara pasukan Zon Selatan A menentang Zon Utara A, sebelum diteruskan dengan pertembungan Zon Tengah berdepan Zon Utara B bagi melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan.
Tumpuan kejohanan pada sebelah petang terarah kepada perlawanan penentuan pingat gangsa apabila pasukan yang menduduki tempat ketiga dan keempat peringkat kumpulan berentap bagi menentukan pemenang pingat tersebut.
Sepanjang hari ketiga pertandingan, suasana perlawanan berlangsung sengit dengan semangat kesukanan tinggi dipamerkan oleh semua pasukan yang bertanding dalam usaha mengesahkan kedudukan terbaik masing-masing.
Perlawanan akhir bagi penentuan pingat emas dan perak dijadualkan berlangsung pada 8 Februari, disusuli majlis penyampaian hadiah pada jam 11.30 pagi. - EDISI UKAS