Sarawak Sasar 30 Peratus Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi
SARIKEI: Kerajaan Sarawak menyasarkan 30 peratus tenaga kerja negeri terdiri daripada pekerja berkemahiran tinggi sebagai langkah strategik untuk memperkukuh daya saing ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan masa depan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, berkata keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi amat penting, khususnya dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.
“Pelaburan paling bernilai bagi sesebuah negeri bukan sahaja terletak pada pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan minda, kemahiran dan jati diri anak muda agar mereka mampu menjadi pemacu ekonomi serta pemimpin masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Randau Akademi Dalam Industri (ADI) di Dewan Suarah Sarikei, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 500,000 pekerja berkemahiran, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, ekonomi digital dan pembuatan berteknologi tinggi.
Katanya, sektor-sektor tersebut bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti, malah berupaya meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup rakyat Sarawak secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Datuk Len Talif menggesa anak Sarawak supaya memanfaatkan sepenuhnya pelbagai inisiatif pendidikan yang disediakan kerajaan negeri bagi meningkatkan tahap kemahiran dan membina masa depan yang lebih terjamin.
“Generasi hari ini mempunyai lebih banyak peluang pendidikan berbanding sebelum ini. Mereka juga tidak lagi berdepan kekangan untuk melanjutkan pengajian kerana kerajaan negeri menyediakan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik Sarawak,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kemudahan pendidikan tersebut merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan bagi memastikan generasi muda Sarawak memiliki ilmu, kemahiran serta daya saing tinggi untuk menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian dan Meradong merangkap Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Abdul Yakub Arbi dan Datuk Ding Kuong Hiing, Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Mohamad Muzaffar Abdul Hamid, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat serta peserta ADI. - EDISI UKAS