Inisiatif Kebajikan Bantu Warga Emas Pelawan Sambut Tahun Baharu Cina
SIBU: Seramai 1,000 warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan menerima sumbangan sekilogram daging khinzir sempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi Program Agihan Daging Khinzir yang berlangsung di Rejang Park, di sini, hari ini.
Program kebajikan tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Pelawan dengan kerjasama Borneo Fresh Sdn Bhd, melibatkan pengundi berdaftar berusia 60 tahun ke atas dari sekitar kawasan Pelawan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata inisiatif berkenaan bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan warga emas.
Menurut beliau, sumbangan itu diharap dapat membolehkan golongan berkenaan turut merasai kegembiraan menyambut Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga masing-masing.
“Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh warga emas, terutamanya dari segi kewangan. Justeru, sumbangan ini diharap dapat sedikit sebanyak membantu serta menyemarakkan suasana perayaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengagihan sumbangan tersebut.
Beliau menambah, program berkenaan bukan sahaja berteraskan kebajikan, malah berperanan memupuk semangat kebersamaan serta memastikan golongan warga emas tidak terpinggir dalam sambutan perayaan.
Dalam pada itu, Datuk Michael turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina Tahun Kuda kepada seluruh masyarakat, sambil memaklumkan bahawa pasukannya akan terus turun padang ke beberapa lokasi lain di kawasan Pelawan bagi menyampaikan sumbangan dan berkongsi kemeriahan perayaan bersama penduduk setempat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Pelawan akan diadakan pada hari kedua perayaan, dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, bertempat di Unicity, Jalan Wawasan.
“Tahun ini, penganjuran rumah terbuka dibuat dalam skala lebih besar dan kita mengalu-alukan kehadiran rakan media serta orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Program yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 10.00 pagi itu mencatatkan kehadiran kira-kira 1,100 orang dan berjalan lancar dengan sokongan pelbagai pihak.- EDISI UKAS