RM350,000 Diperuntuk Bagi Pembinaan Taman Komuniti di Lorong Terap
SIBU: Sebuah Taman Komuniti YMCA akan dibangunkan di Lorong Terap dengan peruntukan sebanyak RM350,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menyediakan kemudahan rekreasi dan ruang interaksi sosial kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek, berkata taman komuniti seluas kira-kira 1,297 meter persegi itu dijangka siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada penghujung tahun ini.
Menurut beliau, taman berkenaan merupakan taman komuniti pertama yang dibangunkan bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan sekitar Brooke Drive dan Jalan Tun Abang Haji Openg, sekali gus melengkapkan kemudahan awam sedia ada di kawasan berkenaan.
“Walaupun bersaiz sederhana, taman ini akan menyediakan ruang yang mesra untuk aktiviti rekreasi, senaman serta interaksi sosial. Ia juga menggalakkan kanak-kanak dan keluarga meluangkan masa di luar rumah, mendekati alam semula jadi serta mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Taman Komuniti YMCA yang berlangsung di Lorong Terap, di sini, hari ini.
Chieng menambah, pembinaan taman tersebut mencerminkan kerjasama erat antara wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan dan sebuah organisasi masyarakat yang berpengalaman dalam pembangunan komuniti.
Menurutnya, perbincangan bersama YMCA Sibu telah bermula sejak tahun 2023 dan dengan sokongan Majlis Perbandaran Sibu, persetujuan dicapai bagi membolehkan YMCA mengurus serta mengadaptasi kawasan tersebut sebagai sebuah hab komuniti yang dinamik dan berfungsi secara berterusan.
“Sejak awal, tumpuan bukan sekadar membina sebuah taman, tetapi memastikan ia digunakan secara aktif, diselenggara dengan baik serta mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.
“Dengan kemudahan YMCA yang terletak berhampiran, taman ini berpotensi menjadi lokasi penganjuran pelbagai program komuniti dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, sekali gus mengukuhkan hubungan kemasyarakatan dan kesejahteraan sosial,” ujarnya.
Majlis pecah tanah yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 11.00 pagi itu dihadiri kira-kira 30 orang, termasuk wakil Pusat Khidmat Bukit Assek serta penduduk setempat.- EDISI UKAS