MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin melakukan lawatan tapak di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Tudan pada Jumaat susulan kejadian kebocoran gas yang dikesan semasa kerja cerucuk bagi pembinaan kantin sekolah berkenaan.
Menurut beliau, kira-kira jam 11 pagi, pihaknya menerima rakaman video yang menunjukkan gas keluar semasa kerja penumbukan cerucuk dijalankan.
Susulan itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat dipanggil ke lokasi bagi menjalankan tindakan keselamatan segera.
Katanya, pihak bomba mengesahkan gas tersebut mudah terbakar dan langkah kawalan segera telah diambil bagi memastikan keadaan terkawal.
Beliau turut menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif PETROS yang kemudiannya menghantar pasukan teknikal ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan awal mendapati gas berkenaan bukan berpunca daripada saluran paip gas, sebaliknya dipercayai berasal dari lapisan bawah tanah pada kedalaman kira-kira 33 meter.
Berdasarkan maklumat kontraktor, beberapa titik cerucuk pada kedalaman sekitar 32.8 hingga 33.9 meter berkemungkinan bersambung dengan kantung gas semula jadi.
Tambah beliau, kawasan Miri sememangnya mempunyai sejarah petroleum dan gas di bawah tanah, justeru perkara tersebut memerlukan pengesahan lanjut oleh jabatan serta agensi teknikal berkaitan.
Sehubungan itu, beberapa agensi telah digerakkan termasuk Jabatan Alam Sekitar Sarawak, Jabatan Kimia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi tujuan pemantauan serta kawalan keselamatan.
Jabatan Kimia dijadual mengambil sampel gas untuk mengenal pasti jenis gas sama ada beracun atau sebaliknya.
Sebagai langkah pencegahan, pihak bomba menasihatkan supaya sesi persekolahan petang ditutup memandangkan lokasi kebocoran sangat hampir dengan kawasan sekolah.
Semua kerja pembinaan di tapak berkenaan turut diarahkan dihentikan serta-merta sehingga siasatan dan pengesahan penuh dibuat.
Beliau turut memaklumkan bahawa sesi persekolahan akan ditangguhkan sehingga mendapat nasihat serta pengesahan keselamatan daripada pihak berkuasa.-EDISI UKAS