Keharmonian, Perpaduan Rakyat Berbilang Kaum Pemangkin Kestabilan Sarawak
LIMBANG: Keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini menjadi pemangkin kestabilan Sarawak, sekali gus membolehkan semua perayaan diraikan bersama dalam suasana aman dan harmoni.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata keunikan Sarawak terletak pada sikap rakyatnya yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Menurut beliau, semangat kebersamaan tersebut merupakan satu anugerah yang perlu terus dipelihara agar keharmonian serta kestabilan negeri dapat dikekalkan.
“Di Sarawak, kita meraikan semua perayaan bersama. Inilah kekuatan perpaduan kita sebagai sebuah negeri berbilang kaum,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Daerah Limbang pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, khususnya golongan memerlukan, di samping mempergiat pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan masyarakat.
Mengulas sambutan Tahun Baharu Cina, beliau berkata Tahun Kuda Api melambangkan kekuatan, semangat dan kemakmuran, serta diharapkan membawa kekayaan dan kejayaan kepada seluruh rakyat Sarawak.
Suasana sambutan diserikan dengan pelbagai pengisian seperti persembahan tarian singa, simbolik perasmian Yee Sang serta penyampaian cenderamata yang mencerminkan semangat muhibah dan perpaduan masyarakat setempat.
Pada majlis tersebut, seramai 200 penerima terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan daripada Datuk Amar Awang Tengah, Dato Paulus serta Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa, Temenggong Leong Boong Ming, Penghulu Ang Chiw Kiam serta ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum selain pengerusi persatuan.-EDISI UKAS