Program Empowerment Business Online Perkasa Usahawan Digital N8 Satok
KUCHING: Program Empowerment Business Online “Digital & Marketing” menjadi platform berkesan dalam memperkasa usahawan dan individu setempat dengan pendedahan menyeluruh terhadap penggunaan platform digital bagi membina jenama, meluaskan pasaran serta meningkatkan jualan dan pendapatan sejajar dengan keperluan persekitaran perniagaan moden.
Program yang berlangsung di Dewan Seni Anak Bandarshah itu melabuhkan tirainya dengan majlis penutupan pada Sabtu, sekali gus menandakan kejayaan penganjuran yang memberi impak positif kepada para peserta, khususnya dalam memahami landskap perniagaan digital yang semakin kompetitif.
Antara pengisian utama program ialah sesi bual bicara bertajuk “Tingkatkan Bisnes Anda Dengan Strategi Yang Berkesan” yang dikendalikan oleh IR Radzi, dengan usahawan digital terkenal, Boss Michael sebagai tetamu khas. Sesi tersebut memberi tumpuan kepada strategi pemasaran digital, pembinaan jenama dan penggunaan platform dalam talian secara efektif untuk menjana pertumbuhan perniagaan.
Majlis penutupan diserikan dengan kehadiran Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Timbalan Ketua Cawangan N8 Satok, Abdul Samad Haji Gany, yang mewakili Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad & PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi N8 Satok merangkap Pengerusi Program, Surveyor Teknologist Counselor Mohamad Akram Mohamed Karim, Temenggong Abdullah Jamil serta Pemancar Rosli Sahari.
Menurut Mohamad Akram Mohamed Karim, program tersebut memberi pendedahan praktikal kepada para peserta merangkumi pembangunan strategi perniagaan, pengurusan kewangan dan pemasaran digital, di samping perkongsian pengalaman sebenar daripada usahawan yang telah berjaya.
“Pendedahan ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, malah menyuntik semangat dan keyakinan kepada peserta untuk menceburi serta mengembangkan perniagaan secara dalam talian,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendaftaran perniagaan secara sah agar para usahawan layak mendapatkan pelbagai bantuan dan sokongan yang disediakan oleh agensi kerajaan seperti TEKUN dan MARA.
“Pendaftaran perniagaan yang sah membuka peluang kepada usahawan untuk menerima bantuan kewangan dan sokongan pembangunan perniagaan,” ujarnya.
Program Empowerment Business Online “Digital & Marketing” ini dilihat sebagai inisiatif strategik dalam melahirkan lebih ramai usahawan digital berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan memperkukuh ekosistem keusahawanan di kawasan N8 Satok. —EDISI UKAS