Kejohanan Sukan Tahunan SJK(C) & SMK Kai Chung Perkukuh Semangat Kesukanan
MERADONG: Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kai Chung Kali Ke-62 Tahun 2026 menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah murid yang seimbang, berdisiplin dan berdaya saing sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata demikian ketika merasmikan kejohanan berkenaan di Kompleks Sukan Bintangor, pada Jumaat.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan sukan tahunan bukan sekadar bertujuan mencungkil bakat dan kecemerlangan dalam bidang sukan, malah berperanan sebagai medium penting dalam mendidik murid mengenai nilai kerjasama, kepimpinan, ketabahan serta semangat kesukanan yang tinggi.
“Menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun pengalaman, usaha dan semangat juang yang ditampilkan oleh para pelajar merupakan kejayaan sebenar yang wajar dibanggakan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap kerjasama erat antara SMK Kai Chung dan SJKC Kai Chung dalam menjayakan kejohanan tersebut, yang disifatkan sebagai cerminan semangat perpaduan dan kekitaan dalam komuniti sekolah.
Pada masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah, jawatankuasa pengelola, guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan komitmen bagi memastikan kejohanan itu berjalan lancar dan teratur.
Kepada para pelajar yang bertanding, Datuk Ding menasihatkan agar sentiasa bertanding dengan penuh semangat, mematuhi peraturan, menghormati pengadil serta pihak lawan, di samping menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan membina keyakinan diri dan semangat kesukanan sejati.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ding turut mengumumkan kelulusan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM100,000 bagi menaik taraf prasarana Stadium SMK Kai Chung daripada stadium terbuka kepada stadium tertutup.
Selain itu, peruntukan RTP bernilai RM50,000 turut diluluskan bagi menaik taraf kemudahan Dewan Serbaguna SJKC Kai Chung, meliputi pemasangan paparan LED dan sistem pembesar suara.
Beliau juga mengumumkan pelaksanaan Projek Naik Taraf Kompleks Sukan Bintangor Fasa 2 dengan kos keseluruhan RM3.5 juta yang melibatkan penambahbaikan stadium tertutup, pagar keselamatan, sistem pencahayaan, pentas serta kemudahan tempat letak kenderaan.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Pengetua SMK Kai Chung Nguang Seng, Guru Besar SJK (c) Kai Chung Ting Kah Chen, Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Yakup Jai, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Dato’ Thomas Ung Sing Ung, Pengerusi Alumni SMK Kai Chung Kapitan Kiu Chiong Chui, Yang Dipertua PIBG SMK Kai Chung, Ab Karim Abdul Rahman, serta Yang Dipertua PIBG SJKC Kai Chung Benjamin Gung Sie Kai. -EDISI UKAS