UNIMAS Perkasa Warga Kampung Bako Melalui Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI
KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) telah menganjurkan Bengkel Sabun & Eco-Enzyme Meriah di Kampung Bako bertempat di Masjid Al-Hidayah, pada Jumaat.
Program tersebut dilaksanakan menerusi inisiatif Komuniti@UniMADANI UNIMAS dengan sokongan dua projek tajaan Kementerian Kewangan berjumlah RM100,000, melibatkan penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai serta bahan pencuci berasaskan eco-enzyme yang dikendalikan oleh dua pakar kimia FSTS.
Seramai 30 orang penduduk Kampung Bako menyertai bengkel berkenaan yang memberi pendedahan secara praktikal kepada peserta dalam menghasilkan produk mesra alam daripada sisa dapur, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan sampingan secara kecil-kecilan.
Ketua Projek Transformasi Minyak Masak, Dr Ain Nadirah, berkata sabun serbaguna yang dihasilkan didapati berkesan digunakan sebagai pencuci pinggan mangkuk dan pakaian, selain sesuai dijadikan cenderamata kerana mudah dibawa serta selamat digunakan oleh semua peringkat umur.
Sementara itu, Ketua Projek Eco-Enzyme dari Buah-buahan, Dr Dayang Norafizan Awang Chee, berkata eco-enzyme yang diperkenalkan berpotensi digunakan sebagai bahan alternatif mesra alam termasuk sebagai penghalau serangga seperti lalat.
Menurut beliau, terdapat peserta bengkel yang berjaya menjual produk penghalau lalat tersebut dengan keuntungan sekitar RM15 sebotol dan menerima permintaan berterusan daripada pengguna.
Seorang peserta bengkel, Hamizan Jemi, 48, yang juga guru KAFA SK Bako, menyifatkan program seumpama itu amat bermanfaat kerana bukan sahaja mengeratkan kerjasama dengan UNIMAS, malah memberi ilmu yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan komuniti.
Sementara itu, Bendahari Jawatankuasa Masjid Al-Hidayah Bako, Heazani Jemi, merakamkan penghargaan kepada UNIMAS dan berharap program pendayaan komuniti seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.- EDISI UKAS