Zon Barat Ungguli Hari Ketiga Acara Petanque SUKSAR IV 2026
SIMANGGANG: Pasukan Zon Barat terus mengungguli hari ketiga acara petanque Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026, di Arena Petanque, Kompleks Sukan Sri Aman di sini pada Sabtu.
Atlet tuan rumah, Fadzlin Ashiqin Radzuan, muncul juara kategori perseorangan wanita sekali gus merangkul pingat emas.
Pingat perak dimenangi oleh Nur Durratuk Asilah Yazit dari Zon Selatan, manakala Wilhelmina Frankie dari Zon Tengah membawa pulang pingat gangsa.
Dalam kategori perseorangan lelaki, atlet Zon Selatan, Muhamad Irfan Syazani Fazarullah, membuktikan keunggulannya apabila muncul sebagai pemenang pingat emas.
Pingat perak dimenangi oleh Muhamad Zhafiran Zafri Mohd Kassim dari Zon Utara, sementara atlet tuan rumah Hairulfikriey Ramlee meraih pingat gangsa.
Sementara itu, saingan kategori beregu lelaki menyaksikan pasangan Muhamad Adam Aidil Mustapa dan Muhammad Amin Abdullah dari Zon Selatan dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.
Pingat perak menjadi milik pasangan Abdul Faris Hakimi Abdul Talip dan Muhamad Mutashum Aiman Junaidi dari Zon Utara, manakala pasangan tuan rumah Abang Muhamad Razique Abang Rosni dan Syed Ahmad Afzan Hafiz Wan Eriwan memperoleh pingat gangsa.
Bagi kategori ‘Triple’ lelaki, pasukan tuan rumah yang dianggotai Amzar Roslan, Muhammad Harraz Syazwi Lokman dan Watziq Zulfiqrie Dahlan menewaskan pasukan Zon Utara dengan kiraan mata 13-3 bagi menggenggam emas terbabit.
Pasukan Zon Utara yang diwakili Muhamad Danial Rusyaidi Abdullah, Muhammad Ehsan Darwish Rudy dan Muhammad Irshad Azni Azlan meraih pingat perak, manakala pasukan Zon Tengah yang dianggotai Ahmad Aminurashid Ling Mohamad Idrus, Amir Hazim Abdul Aziz dan Mohamad Nur Hakimi Abdul Rahman memperoleh pingat gangsa.
Dalam kategori ‘Triple’ wanita pula, pasukan Zon Barat yang dibarisi Khaireen Kasim, Nur Shahira Ismail dan Nurul Batrisyia Zool Fadzli berjaya menewaskan pasukan Zon Selatan dengan kiraan mata 13-9 untuk meraih pingat emas kedua mereka pada hari tersebut.
Pingat perak dimenangi pasukan Zon Selatan yang diwakili Natasha Najwa Ali, Nur Qalisya Saini dan Qurratu Aini Mohd Morly, manakala pingat gangsa menjadi milik pasukan Zon Utara yang dianggotai Nur Yasmin Assyifa Abdullah, Nurfatihah Qaleesya Hairol dan Nurwafa Nabilah Bolhazizan.
Terdahulu, acara petanque SUKSAR IV 2026 membuka tirainya pada Khamis dengan dua kategori acara iaitu tiga lelaki dan tiga wanita, yang sedang berlangsung sehingga hari ini.
Pertandingan tersebut dijadualkan melabuhkan tirai pada jam 1 petang esok dengan upacara penyampaian pingat kepada semua pasukan pemenang di Arena Petanque, Kompleks Sukan Sri Aman.-EDISI UKAS