SAMArindok Perkukuh Warisan Gendang Melayu Sarawak
KUCHING: Program SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri I: Gendang Melayu Sarawak menjadi platform penting dalam usaha memperkukuh dan melestarikan warisan seni gendang Melayu Sarawak melalui persembahan pentas yang berteraskan nilai tradisi dan kearifan tempatan.
Program anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) itu selari dengan Pelan Strategik AKYBMS 2015–2035 di bawah teras Agama dan Budaya dalam usaha memperteguh identiti Melayu Sarawak serta penjenamaan kebudayaan yang positif.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan keterlihatan masyarakat Melayu melalui seni budaya, memelihara serta menghidupkan semula seni persembahan pentas Melayu Sarawak.
Di samping itu, ia juga bertujuan menyemai minat dan rasa bangga dalam kalangan generasi muda terhadap keunggulan seni warisan tempatan serta mengeratkan hubungan muhibah dalam kalangan masyarakat setempat.
Persembahan menampilkan empat kumpulan gendang yang melibatkan kanak-kanak, remaja, dewasa dan veteran, menzahirkan kesinambungan seni tradisi merentas generasi.
Kumpulan yang terlibat ialah Kumpulan Gendang Sri Buana dari Kampung Semariang Batu, Kumpulan Gendang Warisan Seni Pusaka dari Kampung Semariang Lama, Kumpulan Gendang Sri Pangkalan gabungan Kampung Pangkalan Kuap dan Tanjung Bundong, serta Kumpulan Gendang Sanggar Sukma mewakili Komuniti Kejiranan Mesra (KJM) Taman Sukma.
Persembahan turut diserikan dengan Artis Tari Badan Seni AKYBMS yang memperlihatkan kehalusan gerak tari tradisi Melayu Sarawak.
Program berkenaan menarik kehadiran penonton daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur serta pelancong tempatan dan antarabangsa.
Turut hadir menyaksikan persembahan ini ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS Datuk Abdul Wahab Aziz, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Dato’ Dr. Wan Ali Tuanku Madhi, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Ramzi Abdillah serta wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Rasid Mahsin.-EDISI UKAS